ALLAH, ALLAHU RABBI, HUA RAHMAN HUA RAHIM, Sesungguhnya Engkau Yang
Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dalam daku mengharungi jambatan
kehidupan ini, sesekali timbul dalam jiwaku ini satu persoalan samada
daku ini berjalan diatas jalanMu yang lurus atau melalui jalan lain
tanpa ku sedari. Adakah daku ini sedang ditipudaya oleh syaitan durjana?
Adakah daku ini terlalai dan terhijab?
Ku renung ke dalam
jiwaku, lebih dalam, lebih dalam lagi mencari satu jawapan yang jelas
dan nyata. Kadang-kadang ku rasakan Engkau berada di hadapanku tanpa
sebarang hijab, dan dalam masa yang lain pula, kadang-kadang daku tidak
menyedari langsung akan kewujudanMu disisiku, sibuk dengan kesibukan
makhluq dan dunia. Apakah semua ini tabiat jalan menujuMu atau daku
sedang berjalan diatas jalan yang lain yang tidak akan sampai kepadaMu?
Daku sedar Ya Allah, daku ini bukanlah maksum seperti nabi dan rasulMu
yang sentiasa dipelihara olehMu setiap saat kehidupan mereka. Daku sedar
Ya Allah, daku harus berjuang dan bermujahadah dalam mencari cinta dan
kasihMu. Setiap kali daku tersungkur jatuh, gagal dan kalah dengan hawa
nafsuku, setiap kali diri ini mencariMu, merintih keampunanMu Ya Affuw,
Ya Ghaffar Ya Tawwab, merintih kekuatanMu Ya Aziz, Ya Qowiy, Ya Matin
dan merintih petunjukMu Ya Haadi Ya Nuur.
Dan setiap kali itulah
daku akan mendapati Engkau hadir dekat denganku, sangat dekat dan
tersangat dekat sehingga dapat kurasakan aliran kasih dan cinta suciMu
Ya Rahman Ya Rahim Ya Waddud. Adakah untuk meraih kasih dan cintaMu daku
harus melalui itu semua Allah? Daku tidak sanggup untuk melupakanMu
walau sesaat pun, tidak sanggup untuk berpaling dari mengadap wajahMu
walau sesaatpun dan tidak sanggup untuk bangun dari sujudku kepadaMu
walau sesaatpun.
Namun, inilah kehidupan yang Engkau bentangkan
kepadaku, kehidupan yang penuh perjuangan, pengorbanan dan pertarungan.
Seringkali ku rasakan Engkau sedang memerhati daku sedang bergelut dalam
perjalanan ini, dan Engkau melihatku tersungkur, rebah, goyang, goncang
dan kadang-kadang hampir pengsan dalam pergelutan ini. Dan ketika itu
juga, terus dapat kurasakan Engkau menghulurkan tanganMu dengan penuh
belas kasihan dan cinta suci menarikku kembali ke atas landasanMu.
Subhanallah, Walhamdulillah Walaa Ilahaillallah, itulah saja ungkapan
yang mampu ku ungkapkan tanda syukur dan penghargaan atas pertolonganMu
Ya Allah.
Ya Allah YA Haadi, Yang Maha Memberi Hidayah, Petunjuk
dan Bimbingan, setiap hari Engkau hidangkan kepadaku hamba2Mu yang
sedang bergelut dengan ujianMu, mencari jalan keluar, mencari siapa diri
ini, meraba-raba mencari jatidiri, merenung mencari kebijaksanaanMu
dalam semua ini, setiap kali itulah Engkau mengalirkan kekuatan luar
biasa kepadaku yang ku alirkan kepada hamba2Mu itu.
Mungkinkah
itu jawapan kepada persoalan yang ku tanyai tadi. Bahawa hidup ini
adalah untuk berjuang, bergelut dan berperang dalam memastikan diri ini
terus berjalan menujuMu. Setiap kali Engkau melepaskan kami dalam
pergelutan itu, setiap kali itulah Engkau membekalkan kami dengan
pelajaran dan kekuatan yang semakin bertambah. Dan dengan pelajaran dan
kekuatan itulah kami terus berjalan dengan lebih pantas menujuMu Ya
Allah.
Subhanallah, Walhamdulillah Walaa Ilahaillallah, itulah
saja ungkapan yang mampu ku ungkapkan tanda syukur dan penghargaan atas
anugerahMu itu Ya Allah.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, daku masih
mencari-cari agendaMu, mencari kebenaran dalam setiap saat kehidupan
ini. Daku bimbang ada saat-saat kehidupan ini tidak bertepatan dengan
kehendakMu dan redhaMu Ya Allah.
Dengan kekuatan jiwa yang
Engkau Ya Aziz, Ya Qowiy, Ya Matin, kini daku langsung tidak terkesan
dengan kata-kata jahat manusia, fitnah, umpatan, tohmahan, kejian dan
cacian. Namun, daku juga bimbang disitu ada terkandung arahanMu,
nasihatMu dan peringatanMu.
Oleh itu Ya Zahir, nampakkan
kepadaku apa saja suruhanMu, agendaMu dan peringatanMu, pasti daku akan
melakukannya, itupun dengan dayaMu jua, bukan dengan dayaku.
Dalam perjalanan hidup ini juga, daku mula mengimbas kembali peristiwa2 lama yang sering membangkitkan penyesalan yang tidak terhingga kerana kehidupan yang penuh kepentingan diri, cinta jawatan, gelaran, dunia dan manusia walaupun dihiasi dengan sedikit perjuangan yang penuh beralasan. Daku sudah tidak mahukan semua itu Allah, tidak mahu, tidak mahu dan tidak mahu lagi Allah.
Engkau Ya Sami’ Yang Maha
Mendengar mendengar pengakuanku yang daku mengatakan daku tidak mahu itu
semua Ya Allah. Daku bersyukur setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya
Rahman Ya Rahim, Ya Quddus Ya Jalil, Engkau kini menjuahkan semua itu
dariku. Yang adapun sedikit yang tinggal ini adalah untuk kegunaan
kerja-kerja da’wah yang Engkau agendakan kepadaku kini, yang menjadi
agenda hidupku yang sangat penting dan sangat utama.
Ya Allah Ya
Wahhab Yang Maha Menolong, kehidupan yang sekian lama bermandikan dunia
dan manusia membuatkan daku kini meraba-raba mencari jalan hidup baru.
Ingin rasanya keluar dari dunia yang sedang ku jalani ini.
Ingin
kucari dunia lain yang kurasakan lebih dapat ku tumpukan kepada
kerja-kerja da’wah dan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ada seorang
sahabatku yang sudah tinggi jawatannya sudahpun berhenti kerja dan
menumpukan kepada kerja-kerja da’wah kerana kami merasakan kerja-kerja
da’wah ini memerlukan ramai orang-orang terpelajar yang diberikan ilmuMu
Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid.
Dan kami merasakan dalam
pekerjaan kami sekarang, ruang untuk berda’wah itu sangat terhad dengan
jadual kerja yang sangat ketat yang dikongkong oleh ahli-ahli dunia
semuanya dan apatah lagi kami merasa sangat cemas kerana tak tahu berapa
lagi baki umur yang tinggal untuk kami menyelesaikan tugas sebagai abdi
dan khalifah Allah di bumi ini.
Namun, kadang-kadang, suara
hati ini menyatakan betapa sempitnya daku dalam memahami kebijaksanaan
Allah dalam mengatur hidup hamba-hambaNya. Kini, daku hanya menunggu
ketentuanMu Ya Qodir Ya Muktadir Yang Maha Berkehendak lagi Maha
Menentukan takdir. Daku tidak mahu tergolong dalam golongan musta’jilun
(golongan yang terburu-buru), jadi biarlah Engkau yang mengaturnya, daku
rela dan redha apa sahaja ketentuanMu.
Cuma, daku memohon
kepadaMu, dalam daku menjalani dunia pekerjaan ini yang penuh dengan
keduniaan dan kelalaian ini, ikatkanlah jiwaku sentiasa kepadaMu agar
tali ikatan itu tidak akan memutuskan daku walaupun di mana saja dan apa
sahaja yang ku lakukan. Agendakan hidupku dengan agendaMu yang penuh
dengan ibadah, ketaatan, perjuangan dan amal-amal yang soleh.
Cukup dulu coretanku buat masa ini, semoga dipertemukan Allah Ya Wajid Yang Maha Menemukan satu hari nanti..
Salam ukhwah fillah kepada semua yang sedang mencariNya……..
YA BAARI' Ya Allah, daku menyerahkan seluruh jiwa raga untuk agendaMU, jadikan daku abdiMU sejati.
0 comments:
Post a Comment
Selalu indah dengan kata-kata yang indah pula